
Pelajar istimewa 5A
Muhammad Nabil Mohd. Nasir, SK Othman Talib (1) Pasir Mas, Kelantan


Kembar 5A
Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 19 Nov. - Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.
Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.
Anak kepada pasangan pemandu lori dan pekerja kilang itu tidak dibenarkan oleh pihak sekolah untuk mengambil slip itu kerana gagal menjelaskan yuran berjumlah RM57.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," katanya sebak ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent di sini hari ini.
Nur Izzati, anak kedua kepada pasangan Azahar Ariffin, 41, dan Fatimah Ahmad, 42, adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.
Menurut ibunya, pendapatan keluarga yang tidak menentu menyebabkan Nur Izzati terpaksa 'berhutang' dengan pihak sekolah.
Menurut Fatimah, kesihatannya yang tidak mengizinkan dan sumber kewangan keluarga yang terhad menyebabkan dia tidak mampu menyediakan yuran peperiksaan Nur Izzati.
Malah, impiannya untuk melihat anaknya itu belajar di sekolah berasrama penuh juga mungkin tidak dapat ditunaikan kerana kedaifan keluarga mereka.
"Saya berharap sangat dia akan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama. Dia sendiri pun menyatakan keinginan itu tetapi kami tidak mampu untuk memenuhi kehendaknya," katanya.
Sementara itu, Nur Izzati yang bercita-cita menjadi doktor berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat paling tinggi bagi mengubah nasib keluarganya.
"Saya mahu mengubah nasib keluarga dan buktikan kepada semua bahawa saya juga boleh berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, kes pelajar lewat atau tidak menjelaskan yuran sekolah se hingga menyebabkan mereka tidak dapat mengambil slip keputusan pe periksaan bukan perkara baru.
Katanya, masalah tersebut biasanya berlaku kerana ibu bapa atau pelajar sendiri enggan berjumpa atau bekerjasama dengan pengurusan sekolah.
Kegagalan ibu bapa atau pelajar berbuat demikian katanya, menyebabkan pengurusan sekolah tidak mempunyai rekod yang dapat mem bantu pelajar dalam kategori kurang berkemampuan.
"Pihak sekolah pula perlu menjaga bukan seorang sahaja pelajarnya. Biasalah, bila hujung tahun ini, sekolah perlu mengemas kini rekod, jadi mesti ada yang menghadapi masalah ini jika mereka tidak berjumpa pihak pengurusan sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia 20.11.2009

SITI NORFARAH didukung ibunya, Norhaida untuk diletakkan
di atas motosikal di Besut, Terengganu semalam.
BESUT - Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.
Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta iaitu sejenis penyakit kerapuhan tulang, Siti Norfarah Hanim, 12, tidak mudah mengalah hingga akhirnya mencipta kejayaan itu.
Siti Norfarah adalah antara 40 orang pelajar Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II di sini yang mendapat 5A dan diraikan dalam satu majlis di sekolah itu.
Ketika nama Siti Norfarah diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan, dia bersama ibunya, Norhaida Harun, 38, dilihat berlinangan air mata kegembiraan.
Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dirinya tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan pada masa depan.
Katanya, setiap pagi sebelum ke sekolah, Siti Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan ke kantin dan dia bernasib baik kerana seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi secara sukarela membantu anaknya semasa di dalam kelas.
Sementara itu, di Pasir Mas, Kelantan, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, yang mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan turut berjaya meraih 5A dalam UPSR.
"Ini hadiah untuk ibu saya yang bersusah payah mendukung saya ketika menghantar dan mengambil saya sekolah setiap hari," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1, Pasir Mas
Sumber: Kosmo! Online 20.11.2009
ALOR SETAR 19 Nov. - Seorang bapa sanggup 'mengarak' anaknya dengan motosikal ke seluruh kampung kerana terlalu gembira dengan kejayaannya memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Bagi Abdul Latif Hamid, 46, petani dari Kampung Alor Gunung di sini, kejayaan anaknya, Ummu Aiman yang tidak disangka olehnya itu cukup membanggakannya.
Murid Sekolah Kebangsaan Gunung itu memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
"Saya amat gembira dengan kejayaan anak saya ini dan semoga impiannya untuk menjadi seorang doktor akan tercapai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Abdul Latif, dia hanya mampu membawa anaknya mengelilingi kampung dengan motosikal sebagai cara meraikan kejayaannya kerana pendapatan sebagai petani tidak seberapa.
"Saya amat bangga dengan Ummu Aiman dan mahu dia terus berjaya dalam pelajarannya," katanya.
Ditanya rahsia kejayaannya, Ummu Aiman memberitahu dia sering mengamalkan doa-doa penerang hati yang diajar oleh guru-guru di sekolah bagi memudahkannya mengingati ilmu yang diajar.
"Saya belajar sendiri dan tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Tuhan agar memberikan saya kepintaran dan kekuatan semangat untuk menempuh peperiksaan.
"Sepanjang menjawab soalan UPSR dahulu, saya sentiasa tenang dan yakin boleh berjaya,'' jelasnya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut memberitahu petua orang tua-tua yang diamalkannya untuk berjaya.
Katanya, dia tidak memakan makanan yang boleh membuatkan minda menjadi lemah seperti benda masam, minuman bergas serta organ dalaman haiwan.
"Ingatan yang kuat dan cerdas amat penting kepada seorang pelajar dan saya sanggup tidak makan makanan begitu demi menjaga ingatan," katanya
Utusan Malaysia 20.11.2009.
Petikan kata Ustaz Hasrizal Jamil
Recent comments
3 weeks 3 days ago
4 weeks 15 hours ago
4 weeks 4 days ago
5 weeks 4 days ago
5 weeks 5 days ago
6 weeks 5 days ago
7 weeks 3 days ago
7 weeks 5 days ago
7 weeks 5 days ago
8 weeks 3 days ago