SEKITAR SPM 2009 - TAHNIAH!

HABIBAH Hanan Mat Yusoff dari Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dijulang rakan selepas mendapat 15A dalam SPM 2009. Beliau adalah pelajar terbaik sekolah itu selepas Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008.(Berita Harian 12.03.2010)

Nik Nur Madihah inspirasi Habibah Hanan

2010/03/12

KOTA BHARU: Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), Habibah Hanan Mat Yusoff, 18, meneruskan tradisi kecemerlangan sekolah itu apabila memperoleh keputusan 15A termasuk 10A+ dalam SPM, semalam.

Beliau berkata, kejayaan Nik Nur Madihah Nik Kamal dalam SPM sebelum ini, menjadi inspirasinya mencapai kejayaan.

“Saya kaji cara mereka belajar dan menerapkannya dalam corak pembelajaran dan inilah hasilnya. “Saya belum memilih pusat pengajian tinggi kerana mahu berbincang dengan keluarga, selain keliru sama ada memilih bidang perubatan atau perundangan,” katanya.

Turut mencipta kecemerlangan di MMP ialah Nur Fatin Nadia Mazlan yang memperoleh 14A termasuk 9A+ hasil usahanya mengulang kaji sejurus pulang ke asrama.

Pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Sains Tengku Faris Petra, Nur Syuhadah Muhamad, 17, yang memperoleh 10A+ dan berhasrat menjadi doktor, berkata kejayaannya hasil amalan membaca al-Quran setiap hari dan meneruskannya sepanjang menunggu keputusan SPM.

Rakannya, Abdul Syakir Fakhri Adnan, 17, yang mendapat 11A+ berkata beliau memberi tumpuan dalam kelas dan menjaga hubungan baik dengan guru selain mengamalkan bacaan Yasin selepas solat Subuh.
Sementara itu, pelajar cemerlang Pahang, Ahmad Zhafir Zulkifli dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh menyifatkan kejayaannya memperoleh 11A+ hasil Program Guru Muda di sekolahnya.

Pelajar Orang Asli keturunan Jakun, Noor Fatina Emelin Nor Fadzli, 18, dari SBPI Kuantan, yang mendapat 9A iaitu 4A+ dan 5A berhasrat mengikuti bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaya

 

GLADYS menunjukkan slip keputusan SPM di rumahnya di Kuching, Sarawak semalam.(Kosmo 12.03.20101)

Gladys pelajar terbaik SPM

Oleh Misiah Taib, Sharifah Salwa Syed Akil, Sazarina Shahrim, M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Fariza Ramlan

2010/03/12

Digelar mesin fotostat oleh guru, rakan

KUALA LUMPUR: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, Gladys Tan Yee Kim tidak mempunyai formula khas untuk belajar kecuali rajin mengambil nota ringkas dan sentiasa menyiapkan kerja sekolah.

Gladys, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di Kuching, Sarawak, mendapat keputusan 10A+, menganggap usikan rakan dan guru sekolah yang memanggilnya sebagai mesin fotostat berbaloi kerana berjaya muncul sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

“Keputusan hari ini memang mengejutkan kerana semua A+ kerana saya tidak pernah menetapkan sasaran untuk menjadi pelajar terbaik, sebab itu saya seperti bermimpi lagi,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam. Anak bongsu daripada empat beradik itu bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang kaji hayat.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata beliau gembira dengan kejayaan Gladys Tan yang muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM.

“Saya sangat gembira. Tahniah kepada beliau,” kata Taib mengulas pencapaian Gladys.

Pelajar kedua terbaik negara, Grace Kiew Sze-Ern dari SMK Sri Aman, Petaling Jaya menyifatkan pembelajaran secara berterusan di rumah menjadi resipi kepada kejayaannya.
Grace Kiew yang memperoleh 15A+ berpegang dengan prinsip pembelajaran secara teratur, tidak terlalu tertekan, tetapi memberi tumpuan sepenuhnya ketika di kelas serta mendapat rehat yang mencukupi.

Beliau yang mengikuti kursus A-Level di kolej swasta ibu negara sekarang bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan atau pergigian.

Pelajar terbaik Kuala Lumpur, Phoon Yik Chi dari SMK Seri Bintang Selatan yang memperoleh 13A+, memperuntukkan dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji.

Rakan sekolahnya, Nur Hidayatul Nabila Azmi membuktikan tanpa kelas tuisyen beliau mampu memperoleh keputusan cemerlang, asalkan tekun mengulang kaji.

Beliau yang mendapat 10A+ dan 1A menganggap masa empat jam sehari untuk belajar selain solat berjemaah tiga kali seminggu bersama keluarga serta doa ayahnya setiap kali selesai mengimamkan solat menyumbang kepada kejayaannya.

DI PUTRAJAYA, fokus dalam kelas dan patuh kepada nasihat guru antara resipi kejayaan pelajar terbaik Sekolah Menengah Alam Shah di sini, Shahrir Yasin yang memperoleh 10A+ dan 1A.

Baginya, ibu bapanya dan guru banyak mendorong beliau untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM.

Rakannya, Mohamad Muzakkir Abd Ghafar yang turut mendapat keputusan sama tetap gembira walaupun sasarannya untuk mendapat 11A+ tidak tercapai.

Berita Harian 12.03.2010.