Penentuan Matlamat

PENENTUAN MATLAMAT

Tahun 2008 akan menjelang tiba.

Tiba masanya untuk kita menyusun strategi untuk mencapai apa yang kita ingin capai di tahun 2008 dan seterusnya.

Matlamat memberi motivasi dan motivasi memberi tenaga kepada kita semua untuk kita :

1. Melakukan apa yang mesti kita lakukan

2. Melakukannya ketika ianya patut dilakukan

3. Melakukannya samada kita suka atau pun tidak

Tanpa matlamat yang jelas, tiada apa yang jelas berlaku.

Bagi seorang pelajar, belajar tanpa matlamat ibarat menembak tanpa sasaran.

Petua BE SMART dalam penentuan matlamat

BELIEVE & BEGIN

ENTHUSIASTIC

SCRIPTED & SPECIFIC

MEASURABLE

ATTAINABLE BUT CHALLENGING

REALISTIC & REASON

TIME

BELIEVE / PERCAYA:

Yakin dan percayalah bahawa kita sebenarnya boleh mencapai lebih daripada apa yang kita percaya kita boleh lakukan. Dengan menambahkan sedikit usaha lebih daripada kebiasaan kita akan mencapai hasil yang sedikit lebih dari kebiasaan.

Dengan mengulangkaji lebih sedikit dari kebiasaan kita boleh tambah lebih sedikit markah kita dalam peperiksaan.

Dengan berusaha lebih untuk menambah 1 markah sebulan, dalam setahun kita akan menambah 12 markah.

Meningkatkan matlamat 2 markah sebulan menjadikan tambahan 24 markah setahun.

Menambah 3 markah sebulan menjadikannya 36 markah dalam setahun.

Berusaha lebih sedikit lagi untuk meningkatkan markah sedia ada dengan 5 markah setiap bulan akan memperlihatkan penambahan 60 markah dalam setahun.

Maka tidakkah meletakkan matlamat mendapat 'A' suatu yang memang amat dekat dengan jangkauan kita? Ia sebenarnya amat munasabah sekali.

BEGIN / MULAKAN:

Amat penting untuk kita mulakan usaha-usaha itu sekarang.

10 bulan dari sekarang anda harus berada di kedudukan yang baru jika anda benar-benar serius untuk mendapatkan apa yang anda mahu. Tidakkah kiraan di atas menunjukkan betapa munasabahnya meletakkan 'A' dalam setiap subjek?

Anda BOLEH jika anda MAHU.

MULAKAN SEKARANG!

ENHUSIASTIC / BERIA-IA :

Yang membezakan orang yang berjaya dengan orang yang gagal bukanlah kerana yang berjaya meletakkan matlamat yang lebih tinggi berbanding dengan yang gagal. Semua orang ingin berjaya.

Mereka yang berjaya sebenarnya beria-ia lebih lama berbanding dengan yang gagal. Mereka berjaya sebab mereka beria-ia berusaha sehingga mereka dapat apa yang mereka mahu.

Bila kita beria-ia, kita rasa lebih bertenaga. Maka kita lihat orang yang bermatlamat lebih bermotivasi sedangkan mereka yang tidak bermatlamat kelihatan kurang bermaya kerana hidup mereka tiada arah dan tujuan. Mencapai kedudukan yang lebih baik memberi semangat kepada kita untuk terus bergerak untuk berusaha lebih lagi. Kata bijak pandai," Pergi sejauh yang anda boleh pergi. Bila anda sampai di sana anda akan nampak lebih jauh lagi". Ini menyebabkan orang yang berjaya terus berjaya manakala yang tidak bermatlamat terus kekal di tempat lama mereka. Mereka tidak bergerak.

Oleh itu jangan takut untuk bergerak perlahan, tapi takutlah jika kita tidak bergerak-gerak. Cerita arnab dan kura-kura menjadi contoh.

SCRIPTED / BERTULIS :

Berapakah jumlah 1367x298?

Jika kita bukan pakar mengira pantas, sukar untuk kita mengiranya secara mental.

Ambil sekeping kertas dan tulis kemudian kira. Ia menjadi mudah kerana dengan menulis kita dapat mengiranya dengan mudah. Kita mempunyai kemahiran mengira dan dengan menulis ia dapat dilihat dengan mudah untuk dikira. Melakukannya secara mental melambat dan menyukarkan untuk mengira.

Tulis matlamat yang ingin kita capai.

Dengan menulis matlamat di dalam sebuah buku matlamat kita, ia memudahkan kita untuk melihatnya selalu. Tulis dan tampal di tempat yang boleh kita lihat selalu supaya kita sentiasa mengingatkan diri kita akan apa yang kita ingin capai. Tanpa menulisnya, kita sekejap ingat dan sekejap lupa. Ingat iklan biskut itu? Sekejap ada, sekejap tiada!

Dengan menulis matlamat kita dan melihatnya selalu, kita sebenarnya mencabar diri kita. Apabila ia turut dilihat oleh orang lain, kita akan meningkatkan cabaran itu. Cabaran itu boleh mendesak kita untuk berusaha kerana kita tidak mahu mereka yang melihat matlamat kita memperlecehkan kita. Dengan membiarkan matlamat kita kekal di dalam kotak fikiran kita sahaja, kita menghilangkan cabaran itu. Tanpa sebarang tekanan, kita tidak memaksa diri kita untuk bergerak. Sedikit tekanan sebenarnya baik untuk kita kerana tekanan boleh menyerlahkan kehebatan yang dikurniakanNya kepada kita dengan lebih baik.

Ambil cermin muka anda. Jika tiada, dapatkan satu. Di atas cermin muka yang anda lihat selalu untuk mendandan diri anda, tulis di atas kertas atau tulis di atas cermin muka itu menggunakan marker:

' INI MUKA 5A '

' INI MUKA 8A '

' INI MUKA 10 A1 '

Tulis apa sahaja matlamat anda.

Muka SEMUA 'A' di dalam cermin yang anda lihat itu pasti lebih tercabar sekarang. Apalagi kalau orang yang ada di sekitar anda tersenyum sinis melihatnya. Apalagi jika ada yang tertawa melihatnya. Anda pasti lebih membara.

Cabar diri anda!

Berhenti membaca. Dapatkan cermin muka anda sekarang. Tulis matlamat mudah di atasnya untuk anda melihatnya selalu.

Jika anda sedang membaca tulisan ini sekarang, saya mengandaikan anda telah menulisnya.

Dapatkan pula keratan dari akhbar mengenai pelajar yang berjaya cemerlang dalam peperiksaan dengan mendapat 'semua A'. Jika tiada dalam simpanan cuba cari di sekolah atau dapatkannya melalui enjin carian di internet.

Ubah semua nama dan gambar dan tampalkan dengan nama dan gambar anda!

Lebih unik lagi jika anda menulis keratan akhbar anda sendiri, membayangkan seolah-olah ia sedang berlaku. Ya. Keratan akhbar kejayaan anda! Keratan akhbar yang menyiarkan komen anda ketika ditemubual wartawan dan pemberita! Gunakan mesin pengimbas jika perlu. Jika perlu mendapatkan bantuan ibu bapa atau rakan yang mahir komputer, dapatkan bantuan itu.

Siapkan keratan akhbar kejayaan anda. Tampal dan lihatlah keratan itu selalu untuk membakar semangat anda.

Berhenti membaca. Siapkan keratan akhbar anda sekarang!

SPECIFIC / KHUSUS

Matlamat kita mestilah sangat khusus atau spesifik. Apa sebenarnya yang kita mahu? Keinginan untuk berjaya sahaja sangat umum. Saya ingin berjaya: terlalu umum!

Matlamat jangka pendek saya adalah untuk menambah 3 markah setiap bulan untuk subjek Bahasa Inggeris, adalah lebih khusus. Dalam 10 bulan markah saya akan bertambah sebanyak 30 markah.

Dengan markah Bahasa Inggeris saya sekarang sebanyak 65 markah maka matlamat saya adalah untuk mendapat 95 markah pada bulan Okober 2008.

Kunci kata kita di sini adalah  Bahasa Inggeris - 65 markah  - Disember 2007 -      3 markah sebulan - 95 markah - Oktober 2008.

Matlamat jangka panjang saya adalah untuk mendapat A untuk Bahasa Inggeris saya dalam peperiksaan di bulan Oktober 2008 nanti.

Rangkakan pula strategi anda untuk subjek-subjek yang lain.

Sekiranya kita merangka strategi kita untuk menambah 3 markah itu maka bolehlah kita merasa yakin kita akan mencapai apa yang kita inginkan 10 bulan dari sekarang. Bolehlah kita merasa yakin untuk berkata, InsyaAllah:

MATLAMAT UPSR 2008 SAYA ADALAH 5A.

MATLAMAT PMR 2008 SAYA ADALAH 8A.

MATLAMAT SPM 2008 SAYA ADALAH 11A.

 

 

....bersambung....